31 December 2012

Selamat datang 2013!

Man is a social being. Semalam saya dan keluarga meraikan sahabat yang berkunjung dari Doha, Qatar di kediaman kami. Terlanjur itu kami menjemput beberapa orang rakan untuk bersama-sama menikmati BBQ ringkas yang kami sediakan untuk para tetamu. Antara rakan-rakan yang kami undang ialah rakan-rakan yang sama belajar di Universiti di London dahulu iaitu lebih 22 tahun yang lalu. Mereka datang bersama keluarga masing-masing, ada yang telah mempunyai 2 orang cahaya mata, ada yang mempunyai 5 orang cahayamata dan ada juga yang telah menduda. Di samping itu saya juga menjemput rakan-rakan yang dahulunya satu sekolah dengan saya. Seorang rakan telah bersama dengan saya sejak dari darjah satu dan seorang lagi saya mula kenali sewaktu di tingkatan 4 di sekolah asrama penuh. Kesemuanya 6 keluarga yang hadhir dengan dihidangkan BBQ signature dish suami saya.

Saya amat bersyukur kerana hubungan silaturrahim yang saya jalinkan untuk jangkamasa yang lama masih kekal subur. Sekarang anak-anak kami menyambung silaturrahim tersebut. Sepanjang lebih kurang 4 hari berada di Kuala Lumpur, anak-anak sahabat saya seramai 3 orang yang datang dari Doha berkomunikasi dan bergaul dengan rancak dengan anak-anak saya di dalam bahasa English. Kami makan malam di Aseana, KLCC dan Restoran Seri Melayu, bersantai di Sunway Lagoon dan pada hari terakhir mereka di sini, BBQ di rumah saya. Dengan segala kecanggihan alat komunikasi pada masa kini dunia menjadi semakin kecil dan jarak menjadi sangat dekat.

Moral cerita yang ingin saya kongsikan pada kali ini ialah hayatilah ayat Quran yang menganjurkan kita untuk saling berkenal kenalan antara satu sama lain dengan kerencaman bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya. Dan saling bergaul lah kita dengan penuh hemah dan nilai nilai murni. Sahabat saya yang berkunjung dari Doha tersebut berbangsa Bangladesh dengan kewarganegaraan British dan isteri beliau adalah berbangsa Palestine. Ini adalah kunjungan kedua mereka ke Kuala Lumpur dan seperti yang telah dijangka-sangat suka dan memuji Malaysia.

Tahun 2012 berakhir pada hari ini dan esok bermulalah episod tahun 2013! Marilah kita bermuhasabah diri kita terhadap hubungan silaturrahim kita dengan keluarga dan sahabat handai kita. Marilah kita menanam azam menjadi manusia yang lebih baik dari tahun lalu. Sesungguhnya tahun 2013 menunggu kehadhiran kita dengan penuh harapan cabaran keceriaan dan segala kemungkinan. Kemungkinan yang bakal kita sendiri mencorakkan warnanya.

KELAB PRIHATIN SELANGOR dengan rasa gembira dan penuh harapan mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2013 dan semuga hari-hari yang mendatang akan memberi makna di dalam kehidupan kita.

Sekian. Hingga berjumpa lagi...

Faizah Bazid
Presiden
Kelab Prihatin Selangor

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...