13 February 2013

The more you give the more you get!


Hari Selasa yang lepas ketika masih ramai yang menghabiskan cuti Tahun Baru Cina samada di kampung atau di atas lebuhraya pulang ke kotaraya, saya dan beberapa orang rakan mengambil kesempatan untuk menziarah Madrasah Anak-anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah (School of Orphans) di Selayang. Madrasah tersebut merupakan rumah kedai 2 tingkat yang digunakan/disewa untuk anak-anak pelarian Myanmar. Madrasah tersebut dihuni oleh 50 orang anak-anak yatim pelarian Myanmar dimana tempat tersebut merupakan "syurga" bagi kanak-kanak ini. Disamping menjadi tempat perlindungan anak-anak yatim Myanmar ini, Madrasah ini juga digunakan sebagai kelas bagi anak-anak Myanmar yang masih mempunyai keluarga untuk belajar perkara-perkara asas seperti Bahasa Malaysia, Matematik dan English disamping pengajian Quran. Terdapat lebih kurang 160 anak-anak Myanmar yang menghadiri kelas di Madrasah tersebut. Tenaga pengajar di sini kebanyakkannya adalah secara sukarela dan ada juga yang berbayar.

Ketika kami sampai kebanyakkan anak-anak Myanmar telah keluar bermain bola dan cuma 7 orang sahaja yang berada di Madrasah tersebut. Salah seorang daripada mereka merupakan mangsa dera-jelas kelihatan parut akibat penderaan di seluruh tubuh anak yang berusia 10 tahun tersebut. Satu perkara yang saya pelajari tentang anak-anak yatim secara am ialah pandangan mata mereka yang mengawang. Kemungkinan memikirkan mengenai masa hadapan yang tiada kepastian atau mengenangkan kehidupan yang tidak menjanjikan sebarang harapan. Pandangan mata tersebut menyentuh jauh ke dalam lubuk hati saya. Sebaik Ustaz yang menjaga  Madrasah tersebut  membuka t-shirt anak yang didera itu dan kelihatan badan beliau yang penuh dengan parut bekas penderaan.... ketika itu juga saya terbayang wajah dan tubuh badan anak-anak saya yang berusia 7-10 tahun. Tanpa dapat di tahan, air mata saya berjurai jatuh dengan deras di pipi. Sekonyong itu terkeluar dari mulut saya "kalau tubuh anak ini begini rupanya, bagaimana pula perasaannya." Pandangan matanya kosong! Terasa ingin memeluk anak tersebut erat-erat.

Namun jauh disudut hati saya, saya sedar airmata sahaja tidak akan dapat mengubah nasib anak-anak yatim Myanmar ini. Saya sedar sesuatu perlu dilakukan untuk menolong mereka. Seperti tajuk yang saya pilih di atas- The more you give the more you get! Dalam hidup kita tidak perlu takut untuk memberi sedangkan janji Allah s.w.t jelas bahawa amal jariah yang kita berikan akan dibalas dengan berlipat kali ganda oleh Allah. Namun bukan maksud saya kita membantu untuk mendapatkan balasan.. biarlah bantuan kita ini ikhlas dalam erti kata sebenar.

Marilah kita bersama-sama berlumba-lumba untuk membuat kebajikan... Sumbangan boleh disalurkan kepada Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia-hubungi En Amir 0197401009

Jumpa lagi.

FAIZAH BAZID
Presiden Kelab Prihatin Selangor.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...