Alhamdulilla hari ini masuk hari ke empat kita berpuasa di bulan yang mulia penuh rahmat dan berkat. Setiap tahun kita akan berazam supaya Ramadhan pada kali ini akan menjadi lebih baik dari Ramadhan yang lalu. Setiap tahun kemungkinan ada perubahan dalam kehidupan kita, kalau dulunya kita berpuasa seorang diri, mungkin pada tahun ini kita sudah berdua; kalau dahulunya kita berpuasa bersama suami, mungkin pada tahun ini kita sudah mempunyai cahaya mata; kalau dahulunya anak-anak kita belum berlatih untuk berpuasa, mungkin pada tahun ini mereka sudah mula untuk berpuasa dan sebagainya. Setiap perubahan yang berlaku dalam kehidupan kita sepanjang kita melalui Ramadhan yang mulia ini, pasti mempunyai cabarannya tersendiri.
Bagi mereka yang mengambil kesempatan untuk mencari pendapatan tambahan di bulan yang mulia ini, usaha murni ini sangat di alu alukan. Bazar Ramadhan boleh didapati di mana-mana. Bazar yang sangat unik ini hanya boleh kita rasai pengalamannya setahun sekali sahaja. Kuih muih yang hanya boleh kita "jumpa" sewaktu bulan puasa ini adalah kuih muih tradisional yang pasti menggamit nostalgia sewaktu zaman kita anak anak dahulu. Ramai yang mengambil peluang untuk berkunjung ke bazar Ramadhan hanya untuk mencari kuih muih yang tidak mudah untuk kita rasai pada hari hari biasa. Amalan yang sangat mulia sepanjang Ramadhan yang semakin membudaya di kalangan masyarakat kita ialah mengadakan majlis berbuka puasa sesama rakan di samping menjemput anak anak yatim dan madrasah madrasah tahfiz.
Selain bazar Ramadhan, tempat tempat membeli belah yang popular seperti Jalan Tunku Abdul Rahman adalah antara tempat yang menjadi kegemaran Muslimin dan Muslimat untuk mencari pakaian, tudung dan lain lain lagi. Perbelanjaan berhemah amat digalakkan ketika membeli belah.
Akhir kata... marilah kita bersama sama menghayati roh dan semangat Ramadhan yang sebenar dan berusaha untuk memperbaiki ibadat puasa kita menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Faizah Bazid
Presiden Kelab Prihatin Selangor
24 July 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment