31 December 2012

Selamat datang 2013!

Man is a social being. Semalam saya dan keluarga meraikan sahabat yang berkunjung dari Doha, Qatar di kediaman kami. Terlanjur itu kami menjemput beberapa orang rakan untuk bersama-sama menikmati BBQ ringkas yang kami sediakan untuk para tetamu. Antara rakan-rakan yang kami undang ialah rakan-rakan yang sama belajar di Universiti di London dahulu iaitu lebih 22 tahun yang lalu. Mereka datang bersama keluarga masing-masing, ada yang telah mempunyai 2 orang cahaya mata, ada yang mempunyai 5 orang cahayamata dan ada juga yang telah menduda. Di samping itu saya juga menjemput rakan-rakan yang dahulunya satu sekolah dengan saya. Seorang rakan telah bersama dengan saya sejak dari darjah satu dan seorang lagi saya mula kenali sewaktu di tingkatan 4 di sekolah asrama penuh. Kesemuanya 6 keluarga yang hadhir dengan dihidangkan BBQ signature dish suami saya.

Saya amat bersyukur kerana hubungan silaturrahim yang saya jalinkan untuk jangkamasa yang lama masih kekal subur. Sekarang anak-anak kami menyambung silaturrahim tersebut. Sepanjang lebih kurang 4 hari berada di Kuala Lumpur, anak-anak sahabat saya seramai 3 orang yang datang dari Doha berkomunikasi dan bergaul dengan rancak dengan anak-anak saya di dalam bahasa English. Kami makan malam di Aseana, KLCC dan Restoran Seri Melayu, bersantai di Sunway Lagoon dan pada hari terakhir mereka di sini, BBQ di rumah saya. Dengan segala kecanggihan alat komunikasi pada masa kini dunia menjadi semakin kecil dan jarak menjadi sangat dekat.

Moral cerita yang ingin saya kongsikan pada kali ini ialah hayatilah ayat Quran yang menganjurkan kita untuk saling berkenal kenalan antara satu sama lain dengan kerencaman bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya. Dan saling bergaul lah kita dengan penuh hemah dan nilai nilai murni. Sahabat saya yang berkunjung dari Doha tersebut berbangsa Bangladesh dengan kewarganegaraan British dan isteri beliau adalah berbangsa Palestine. Ini adalah kunjungan kedua mereka ke Kuala Lumpur dan seperti yang telah dijangka-sangat suka dan memuji Malaysia.

Tahun 2012 berakhir pada hari ini dan esok bermulalah episod tahun 2013! Marilah kita bermuhasabah diri kita terhadap hubungan silaturrahim kita dengan keluarga dan sahabat handai kita. Marilah kita menanam azam menjadi manusia yang lebih baik dari tahun lalu. Sesungguhnya tahun 2013 menunggu kehadhiran kita dengan penuh harapan cabaran keceriaan dan segala kemungkinan. Kemungkinan yang bakal kita sendiri mencorakkan warnanya.

KELAB PRIHATIN SELANGOR dengan rasa gembira dan penuh harapan mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2013 dan semuga hari-hari yang mendatang akan memberi makna di dalam kehidupan kita.

Sekian. Hingga berjumpa lagi...

Faizah Bazid
Presiden
Kelab Prihatin Selangor

24 July 2012

Ramadhan-Bulan yang mulia datang kembali...

Alhamdulilla hari ini masuk hari ke empat kita berpuasa di bulan yang mulia penuh rahmat dan berkat. Setiap tahun kita akan berazam supaya Ramadhan pada kali ini akan menjadi lebih baik dari Ramadhan yang lalu. Setiap tahun kemungkinan ada perubahan dalam kehidupan kita, kalau dulunya kita berpuasa seorang diri, mungkin pada tahun ini kita sudah berdua; kalau dahulunya kita berpuasa bersama suami, mungkin pada tahun ini kita sudah mempunyai cahaya mata; kalau dahulunya anak-anak kita belum berlatih untuk berpuasa, mungkin pada tahun ini mereka sudah mula untuk berpuasa dan sebagainya. Setiap perubahan yang berlaku dalam kehidupan kita sepanjang kita melalui Ramadhan yang mulia ini, pasti mempunyai cabarannya tersendiri.

Bagi mereka yang mengambil kesempatan untuk mencari pendapatan tambahan di bulan yang mulia ini, usaha murni ini sangat di alu alukan. Bazar Ramadhan boleh didapati di mana-mana. Bazar yang sangat unik ini hanya boleh kita rasai pengalamannya setahun sekali sahaja. Kuih muih yang hanya boleh kita "jumpa" sewaktu bulan puasa ini adalah kuih muih tradisional yang pasti menggamit nostalgia sewaktu zaman kita anak anak dahulu. Ramai yang mengambil peluang untuk berkunjung ke bazar Ramadhan hanya untuk mencari kuih muih yang tidak mudah untuk kita rasai pada hari hari biasa. Amalan yang sangat mulia sepanjang Ramadhan yang semakin membudaya di kalangan masyarakat kita ialah mengadakan majlis berbuka puasa sesama rakan di samping menjemput anak anak yatim dan madrasah madrasah tahfiz.

Selain bazar Ramadhan, tempat tempat membeli belah yang popular seperti Jalan Tunku Abdul Rahman adalah antara tempat yang menjadi kegemaran Muslimin dan Muslimat untuk mencari pakaian, tudung dan lain lain lagi. Perbelanjaan berhemah amat digalakkan ketika membeli belah.

Akhir kata... marilah kita bersama sama menghayati roh dan semangat Ramadhan yang sebenar dan berusaha untuk memperbaiki ibadat puasa kita menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Faizah Bazid
Presiden Kelab Prihatin Selangor
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...